Ada satu teka teki yang pernah saya dengar.
" Ada 2 beradik tinggal kat satu rumah, nama mereka Ali dan Ulang. Kalau Ali pergi ke sekolah, siapa yang tinggal di rumah ? "
Pernah dengar? Tahu tak apa jawapan?
Ulang. Kalau kalau bahasa biasanya bermaksud buat / cakap / praktik benda yang sama berkali - kali. Aktiviti mengulang ni sebenarnya wujud dalam dua bentuk. Bentuk memberi kebaikan, dan satu bentuk lagi memberi keburukan.
Ulang yang memberi kebaikan.
Teknik mengulang biasa digunakan dalam sistem pembelajaran. Contoh apabila menghafal sifir, menghafal ayat hafazan atau ketika mengulangkaji pelajaran biasanya teknik mengulang akan digunakan.
Sama juga apabila kita ingin mempraktikkan sesuatu perbuatan supaya menjadi tabiat dan rutin, kita akan ulang dan ulang dan ulang perbuatan tersebut sehingga menjadi kebiasaan dan seterusnya dapat mengamalkannya tanpa paksaan.
Contoh yang diberi saya petik ( dan ubah sedikit ) dari ceramah Ustazah Fatimah Syarha, cuba dengar ayat - ayat berikut :
" Pen, kerusi, meja "
" Ali, Ulang, meja "
" Kek, biskut, meja "
" Mikrofon, pentas, meja "
" Baju Kurung, Kain Cotton, meja "
Apa yang melekat di fikiran kita setelah membaca ayat - ayat tersebut? Pastilah meja kan? Ini menunjukan teknik mengULANG memberi impak kepada mengingat.
Ulang yang membawa keburukan.
Ulang yang membawa keburukan saya lebih kepada ingin menfokus kepada apabila kita sering mengingati atau sering menyebut - nyebut perkara negatif yang kita sendiri tidak gemari. Perkara yang boleh membuat kita sakit hati, geram dan benci. Benci dengan perangai seseorang, kecewa dengan takdir yang menimpa diri atau geram dengan sikap pihak atasan yang memilih bulu.
Sekiranya ada sesuatu perkara atau seseorang yang boleh atau sering membuatkan kita rasa tidak senang, adalah baiknya sekiranya kita pendamkan sahaja.Memang sukar untuk dipendam, apatah lagi sekiranya membebel atau mengeluh memang sudah menjadi tabiat kita. Ini kerana, selagi kita menyebut, membebel, mengeluh, perkara tersebut akan semakin berat dan semakin menghantui kita. Kita akan jadi semakin geram dan semakin benci. Sedangkan kita semua sedar, geram dan benci merupakan salah satu dari penyakit hati.
Jika perlu diluahkan kekecewaan atau rasa sakit hati anda sekalipun, carilah orang yang betul - betul boleh membantu setelah anda meluahkan. Elakkan dari meluahkan perasaan kepada mereka yang mempunyai sikap suka mencurah minyak ke api. Lagi diulang cerita yang mengecewakan atau menyakitkan hati, hanya akan menambahkan rasa sakit hati atau kecewa dan bukannya dapat menyelesaikan masalah. Luahkan sahaja kepada mereka yang anda percayai, dapatkan nasihat terbaik dan cukup, jangan disebut lagi.
p/s : Dah dapat jawapan kepada teka teki tadi? Ulang baca lagi post ini :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan